Peguam Negara Mahu Dakwa Suspek Tembak MH17 Di Bawah Akta Sosma

Kuala Lumpur – Suspek yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai lalu di Ukraine akan didakwa di Malaysia kerana pesawat berkenaan adalah hak milik negara ini, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Gani dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak mempunyai bidang kuasa menjalankan pendakwaan terhadap insiden tersebut memandangkan Malaysia dan Belanda menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Gani berkata, bidang kuasa ICC hanya melibatkan insiden jenayah perang seperti pembunuhan beramai-ramai dan perang saudara, serta tiada negara yang terlibat ingin melakukan pendakwaan.

Katanya, bidang kuasa Mahkamah Keadilan Dunia (ICJ) pula hanya melibatkan pertelingkahan antara dua negara dan bukannya insiden seperti MH17.

“Dalam kes ini, Malaysia dan Belanda menyatakan kesediaan untuk membuat pendakwaan, jadi ICC tidak mempunyai bidang kuasa,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Malaysia jelas untuk membawa mereka yang didapati bersalah ke Malaysia dan mendakwa mereka menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di negara ini.

“Pendirian kita jelas, Malaysia mahu dakwa mereka di sini menggunakan akta kita.

“Kita mempunyai undang-undang dan kita akan gunakan. Jika tidak, tiada gunanya ahli Parlimen dan Parlimen kita meluluskan akta tersebut,” katanya, dan menambah, kes itu menjadi tanggungjawab Malaysia kerana ia melibatkan harta milik negara.

Gani berkata, sekiranya mereka yang didapati bertanggungjawab menembak jatuh pesawat dengan 289 penumpang itu berjaya dikenal pasti, mereka akan diekstradisi ke Malaysia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan peruntukan Sosma, sebarang kesalahan jenayah terhadap Malaysia termasuk kesalahan di luar negara, Malaysia mempunyai hak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang negara ini.

Wan Junaidi berkata, untuk tujuan itu tiga aspek perlu diberi perhatian sebelum Sosma dapat dilaksanakan iaitu mengenal pasti pelaku, mempunyai bukti dan memperoleh kebenaran pihak berkuasa negara asal pesalah sebelum dibawa dan dibicarakan di negara ini.

Gani berkata, untuk pendakwaan, Sosma akan digunakan bersekali dengan Akta Kesalahan Penerbangan 1948 ke atas pesalah yang terlibat.

“Kita harus mengenal pasti pesalahnya terlebih dulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan membenarkan Belanda membuat pendakwaan terhadap insiden tersebut disebabkan majoriti penumpang pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu adalah rakyatnya dengan 195 orang, Gani berkata, Malaysia bertanggungjawab mendakwa pesalah terbabit.

Daripada jumlah keseluruhan 298 penumpang MH17, 43 penumpang adalah warganegara Malaysia termasuk anak kapal pesawat malang itu.

“Pesawat itu hak kita, kita akan mendakwa kerana kita ada bidang kuasa,” katanya, dan menambah, insiden berkenaan juga tidak berlaku di Belanda, tetapi di wilayah Donetsk, Ukraine.

Beliau bagaimanapun mengakui kes berkenaan akan mengambil masa untuk mengumpul bukti sebelum pendakwaan dapat dijalankan.

Sehingga hari ini, masih tiada pihak yang tampil mengakui bertanggungjawab menembak pesawat MH17.

Insiden berkenaan adalah yang kedua melibatkan syarikat penerbangan nasional itu selepas kejadian kehilangan pesawat MH370.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan siasatan berhubung tragedi pesawat MAS itu mencapai tahap 50% berdasarkan bahan bukti yang diperoleh di kawasan insiden serta keterangan saksi.

Beliau berkata, selain barangan peribadi, pasukan penyiasat antarabangsa turut menemui kokpit pesawat di kawasan ladang penternakan ayam berdekatan lokasi nahas.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan tembakan pada kokpit berkenaan namun pasukan penyiasatan antarabangsa mungkin mengambil masa tiga minggu lagi untuk mengeluarkan serpihan pesawat itu dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Ukraine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang semalam.

Setakat ini, 62 lagi mayat mangsa belum ditemui sejak pesawat MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.

Zahid berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga cuba memasuki lokasi nahas namun hanyaa dibenarkan berada sejam setengah dan berada di dalam lingkungan 20 kilometer saja.

Sehingga kini terdapat 87 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di Soledar, Ukraine bagi meneruskan misi sisatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.