Khazanah Akan Ambil Alih MAS – Najib

Kuala Lumpur – Kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd kini dalam peringkat akhir menyiapkan pelan penstrukturan menyeluruh Malaysian Airline System Bhd (MAS), dan pelan terperinci mengenainya akan diumumkan akhir Ogos, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerajaan menerusi dana pelaburan strategiknya, Khazanah Nasional, hari ini mengumumkan proses formal untuk mengambil alih pemilikan penuh serta menyahsenarai syarikat penerbangan itu daripada Bursa Malaysia.

“Ini adalah langkah pertama yang diperlukan supaya syarikat itu kembali mencatat keuntungan. Ia merupakan langkah yang saya sokong sepenuh hati.

“MAS merupakan sebahagian daripada sejarah Malaysia. Ia kebanggaan negara, pencapaian kita dan tempat kita di dunia. Oleh itu, hari ini kita membuat perubahan bagi memastikan ia juga merupakan sebahagian sejarah masa depan Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat sebagai respons beliau kepada cadangan penyahsenaraian MAS.

Beliau yakin syarikat penerbangan negara itu mesti dicergaskan semula untuk mewujudkan syarikat penerbangan nasional yang kukuh dan mampan.

“Proses pembaharuan semula ini akan melibatkan kerja keras dan pengorbanan daripada semua pihak.

“Arahan dan komitmen saya kepada semua pihak yang terlibat ialah supaya proses itu dilaksanakan secara profesional, menggunakan prinsip-prinsip adil, telus dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Najib juga menyentuh mengenai kehilangan MH370 dan MH17, dengan berkata jarang sebuah syarikat terpaksa melalui dua tragedi malang dan luar biasa dalam tempoh yang singkat.

Perdana Menteri berharap dua tragedi itu akan mengubah cara industri penerbangan beroperasi untuk menjadikan perjalanan di dunia ini lebih selamat untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.