Hari-hari Saya Menangis Di Penjara – Bekas Pemandu Karpal

Kampar – Bekas pemandu kepada Mendiang Pengerusi DAP Karpal Singh, C Selvam berasa dirinya dikhianati dan ditinggalkan menderita oleh keluarga majikannya kerana dibiarkan meringkuk di dalam Penjara Taiping selama lebih sebulan.

Dia bagaimanapun berterima kasih kepada Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan yang membayar ikat jaminnya dan kini dibebaskan dari penjara sementara menunggu hari perbicaraan.

Selvam yang tidak mengenali sesiapapun di Malaysia kecuali Karpal dan keluarganya tidak pernah terlintas, akan dibiarkan keseorangan di dalam penjara di negara asing baginya.

Ketika dalam tempoh tahanan reman, Selvam berharap dan berdoa agar keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu datang dan menjaminnya tetapi hampa.

Lebih menyayat hati, tiada seorang pun ahli keluarga peguam veteran itu melawatnya ketika dia ditahan di Penjara Taiping.

Laporan itu menyebut tiada juga wakil dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur melawatnya yang berasa dari Velore di Tamil Nadu, India.

Menurutnya, barangan peribadi miliknya yang ditinggalkan di rumah Karpal di Kuala Lumpur, tidak dikembalikan padanya.

Huan membayar wang ikat jamin sebanyak RM5,000 Isnin lepas dan Selvam dibebaskan pada keesokannya.

“Saya menangis ketika di dalam penjara setiap hari memikirkan keluarga saya di India, mendiang Karpal dan pembantunya Michael Cornelius.. Apabila diberitahu ada orang yang menjamin saya, saya sangkakan mereka ada keluarga Karpal.

“Saya begitu terkejut apabila mendapati seorang Datuk berbangsa cina yang menyelamatkan saya, saya berasa dikhianati dan ditinggalkan.

“Ketika saya bertemu Huan di bangunan Mahkamah di Kampar, Perak, saya berterima kasih kepadanya kerana membawa saya keluar dari penjara.

“Saya menganggap beliau seperti tuhan kepada saya sekarang,” kata Selvam yang lega.

Huan kemudiannya membelikan pakaian baru untuk Selvam dan juga telefon bimbit untuk memudahkannya menelefon keluarganya di India. Dia kini dijaga oleh Huan di Kampar.

Beliau juga meminta bantuan daripada Biro Guaman Dan Hak Asasi Kebangsaan parti Gerakan Baljit Singh untuk memberikan khidmat guaman kepada Selvam.

Dia dituduh memandu kenderaan secara berbahaya di mahkamah pada 9 Julai lepas mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selvam mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 tetapi tidak mampu membayarnya pada mulanya.

Jika disabitkan kesalahan, Selvam boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya. Pengurusan kes disebut pada 5 September depan.

Selvam pada 17 April lalu, memandu kereta Toyota Alphard milik Karpal sebelum ia merempuh dengan sebuah lori di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Kampar yang mengorbankan Karpal dan pembantunya, Michael.

Pembantu rumah Indonesia Karpal, Selfiana Rengga, 26m cedera parah tetapi kini sudah pulih, Selvam dan anak ketiga Karpal, Ramkarpal hanya mengalami cecedera ringan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.