Fizo Omar Edar Burger Percuma

Kuala Lumpur – Khabar angin mengenai pemberian burger percuma oleh McDonalds Malaysia sempena hari memboikot produk Israel di masjid-masjid pada hari ini telahpun disahkan tidak benar oleh syarikat francais berkenaan beberapa hari lalu.

Namun sebaliknya, usahawan muda tempatan, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar yang merupakan pemilik jenama Hot Burger pula mengumumkan pemberian burger secara percuma pada hari ini.

Katanya, inisiatif pemberian burger secara percuma itu akan diteruskan ke lokasi berlainan pada masa akan datang.

“Ini adalah salah satu inisiatif kerja amal untuk mengutip derma dan dimasukkan ke dalam tabung amal Gaza.

“Saya fikir, ini adalah usaha kecil kami untuk bersama-sama membantu rakyat Palestin,” katanya.

Berita mengenai pemberian burger itu disampaikan melalui laman Facebook miliknya pada hari Jumaat.

Aktiviti berkenaan dilakukan di sekitar Masjid Wangsa Maju, Setapak.

“@hotburgermalaysia akan diberi secara percuma hri ini di masjid wangsa maju berhadapan jpj setapak. come n grab #hotburger. Terima kasih,” tulisnya.

Berita itu disambut baik oleh orang ramai yang menganggap tindakan Fizo selari dengan kempen memboikot produk Israel dan memberi pilihan lain kepada peminat burger di Malaysia.

Seorang pengguna laman sosial, Mdzalina Salleh berkata peluang ketika ini harus digunakan sebaiknya oleh anak tempatan untuk memperkenalkan produknya sendiri.

“Kepada Fizo, buatlah hasil yang terbaik seperti produk McDonalds, kami sokong produk tempatan.

Manakala seorang lagi pengguna, Ahmad Aminuddin yang menyifatkan tindakan Fizo itu sebagai usaha murni dalam membantu masyarakat Palestin.

“Inilah masa kebangkitan produk anak Malaysia, ayuh teruskan memboikot,” tulisnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.