Buaya Lawan Jerung

Perth – Aksi pertarungan membabitkan jerung dan buaya air masin di bahagian utara Australia berjaya dirakamkan.

Menurut Andrew Paice, dia bersama isteri dan dua anak perempuannya sempat menyaksikan detik-detik cemas itu pada Selasa lalu, ketika melayari Sungai Adelaide.

Mereka pada mulanya melihat kelibat seekor buaya sepanjang 5.5 meter yang dikenali sebagai Brutus.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, kami ternampak Brutus sedang merangkak ke tebing sungai.

“Namun, apa yang mengejutkan ialah kami ternampak sesuatu seperti sirip ikan, tetapi kami fikir ia mungkin ikan siakap.

“Apabila bot kami mendekati Brutus, kami terkejut apabila mendapati sirip itu adalah milik seekor ikan jerung,” jelasnya.

Brutus yang dipercayai berusia 80 tahun itu tidak mempunyai kaki hadapan serta gigi, malah sangat terkenal di kawasan itu.

Pertempuran yang diibaratkan seperti “Jaws vs Claws” itu membuatkan anak perempuan Paice teruja dengan pengalaman itu.

“Orang lain tidak pernah melihat aksi sebegitu selama 30 tahun haiwan itu berada di sana. Dia begitu teruja,” katanya.

The Northern Territory News melaporkan, Brutus telah memenangi pertembungan itu, namun Paice tidak yakin dengan kenyataan itu.

“Apabila kami melalui kawasan itu buat kali pertama, kami melihat ikan jerung itu berada di dalam mulutnya.

“Apabila bot kami mendekatinya, buaya itu kembali semula ke dalam air dan ikan jerung yang berada dalam mulutnya mula menggelupur selepas terkena air.

“Oleh itu, kami yakin sudah tentu ikan jerung itu masih hidup. Kami tidak melihat kesan darah di mana-mana,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.