Atlet Karate Muda Pamer Prestasi Cemerlang

Kuala Lumpur – Jurulatih pelapis kebangsaan Lim Lee Lee memuji prestasi cemerlang dua atlet karate muda, Ooi San Hong dan Ariani Lim Junyi, yang mempamer aksi bertenaga serta membolehkan mereka meraih pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia ke-14.

Lim berkata kejohanan yang berlangsung di Stadium Badminton Cheras itu merupakan kejohanan peringkat Asia pertama disertai Ooi, 14, dan Lim, 15.

“Walaupun ini merupakan pengalaman pertama mereka tapi mereka kelihatan tidak gentar dan berkeyakinan menghadapi pihak lawan.

“Latihan selama sembilan bulan bersama saya sangat membuahkan hasil dan saya selaku jurulatih, memang puas hati dengan pencapaian mereka,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ooi yang meraih pingat menerusi acara Kata Individu Lelaki Kadet berkata meskipun terkejut dengan kemenangan itu, beliau belum berpuas hati dengan pencapaiannya.

Ooi, yang bercita-cita menjadi ‘sensei’ atau jurulatih karate, berkata secara peribadi, beliau menyasarkan pingat emas.

Bagaimanapun, emas acara itu milik atlet Jepun Yamanaka Nozomi manakala pingat perak dirangkul Albadri Rakan (Arab Saudi) dan gangsa dikongsi Ooi bersama Lee Wei Hsiang dari Taiwan.

Lim, yang merangkul gangsa bagi acara Kata Individu Wanita Kadet, pula berkata penyertaan pertamanya di kejohanan peringkat Asia menyajikan cabaran yang sedikit berbeza.

“Kalau kejohanan peringkat kebangsaan, saya bersaing dengan rakan senegara, cabaran tidak terlalu besar tapi bila sertai kejohanan yang libatkan banyak negara, memang saya akui berasa sedikit tekanan dari segi cabaran.

“Memang agak sukar untuk meraih pingat tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya mampu miliki pingat gangsa,” katanya yang turut menyasarkan pingat emas dalam acara itu.

Emas acara itu diraih Ishibashi Kadri dari Jepun manakala perak milik Ngyen Phnong (Vietnam) dan gangsa yang dikongsi Lim bersama Sadeghi Dastak Fatemeh dari Iran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.