KUALA LUMPUR -Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jali, yang mengkritik perbicaraan rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas menolak permohonan prosiding menghina mahkamah yang difailkan Pejabat Peguam Negara terhadap Isham.
Mahkamah memutuskan penghinaan yang didakwa itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan mahkamah yang mengendalikan rayuan kes 1MDB dan SRC International Bhd (SRC).
“Kes itu sudah pun diputuskan oleh mahkamah yang berkenaan. Oleh itu, perkara yang dahulunya boleh dianggap sebagai bersifat menghina atau mengganggu perjalanan keadilan mungkin tidak lagi terpakai hari ini.
“Tuduhan samar bahawa responden (Isham) menghina badan kehakiman melalui kenyataan itu, apabila dilihat dalam konteks fakta dan latar penyiaran, tidak menimbulkan risiko sebenar untuk menjejaskan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.
Mahkamah berkata undang-undang penghinaan mahkamah bukan bertujuan melindungi maruah hakim, sebaliknya melindungi hak awam dengan memastikan pentadbiran keadilan tidak diganggu.
“Dengan kewujudan media sosial, kritikan terhadap hakim dan keputusan mereka sudah menjadi perkara biasa, seperti mana yang dijawab oleh responden dalam jawapan kepada surat tunjuk sebab.
“Sebagai hakim, tugas kami menuntut supaya kami mengadili kes dengan bebas, tidak berat sebelah dan berintegriti tinggi.
“Ia bukan tugas mudah kerana kami perlu tetap teguh menghadapi tekanan dan kritikan, kerana neraca keadilan tidak boleh terpengaruh oleh tekanan luar atau desakan pendapat awam,” katanya lapor BH.
Beliau berkata penghakiman dalam kes rasuah membabitkan 1MDB dan SRC adalah berasaskan fakta dan undang-undang, bukannya emosi atau tekanan awam.
“Ini menunjukkan bahawa aliran pentadbiran keadilan dipandu oleh prinsip undang-undang, bukan oleh gelombang pendapat awam atau serangan tidak berasas,” katanya.
Katanya kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi dan pelaksanaannya perlu menghormati peranan penting badan kehakiman.
Beliau menjelaskan kuasa menghukum membabitkan penghinaan terhadap mahkamah ialah alat penting untuk mencegah gangguan sebenar terhadap keadilan, namun penggunaannya perlu terhad kepada situasi di mana wujud risiko nyata terhadap pentadbiran keadilan.
“Ia tidak seharusnya digunakan semata-mata untuk menutup kritikan yang tidak selesa atau keras.
“Cara paling berkesan untuk badan kehakiman menangkis kritikan yang tidak berasas dan mempertahankan integritinya adalah melalui penghakiman yang adil dan saksama tanpa ragu,” katanya.
Pada 28 Disember 2023, Pejabat Peguam Negara memfailkan permohonan penghinaan terhadap Isham susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”
Dalam temu bual itu, Isham mengkritik perbicaraan dan rayuan kes rasuah membabitkan Najib yang juga bekas majikannya, dalam kes 1MDB dan SRC.
Temu bual yang dirakam itu dimuat naik di Facebook The Malaya Post pada 30 September 2023.