Umat Islam Dilarang Pelihara Anjing Dalam Rumah

KANGAR – Umat Islam dilarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang kukuh, kata Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut beliau, ini kerana ada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut jilatan anjing adalah najis.

“Bagi elak dijilat anjing yang sentiasa menjelir lidah yang dianggap najis dari segi agama dan bahaya mengikut sains, maka Islam melarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan kukuh,” katanya dalam laman Facebooknya.

Beliau mengulas perbuatan seorang wanita Islam bertudung memelihara anjing dalam rumah dan membiarkan anjing peliharaannya menjilat dirinya sehingga menjadi tular setelah memuat naik dalam Facebook wanita tersebut.

Menurut Mohd Asri lagi, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda dengan maksudnya:

“Sesiapa yang memelihara anjing, maka sesungguhnya berkurangan (pahala) amalannya setiap hari sebesar qiroth (sebesar Bukit Uhud) kecuali anjing buruan ataupun ternakan (bertugas menjaga ternakan).”

Berdasarkan hadis masyhur tersebut, sekurang-kurangnya hukum jika memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan itu adalah makruh walaupun ada ulama yang bertegas mengharamkannnya, jelas Mohd. Asri.

Kata beliau lagi, walaupun hadis tersebut tidak menyebut dosa tetapi hanya pahala yang akan berkurangan, maka hukumnya adalah makruh mengikut sebahagian fuqaha pula.

Selain itu, salakan dan bulu-bulu anjing yang berterbangan seolah-olah tidak mengalu-alukan tetamu sedangkan Islam menggalakkan masyarakat menjalin hubungan baik dengan jiran, tambahnya.

Beliau berkata banyak kajian mendapati gigitan dan najis anjing berbahaya kepada kesihatan manusia malah atas sebab itu Islam mengingatkan penganutnya mengenai bahaya memelihara anjing tanpa sebab kukuh. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.