Tiga Lelaki Kantoi Tak Sempat Jual Dadah

TIGA lelaki dipercayai pengedar dadah tidak sempat melakukan urusan jual beli dadah selepas ditahan bersama pelbagai jenis dadah di sebuah wakaf sawah padi di Kampung Baruh Masin, Pasir Akar, Besut kelmarin.

Selain menahan tiga suspek berusia 18 hingga 47 tahun, polis turut merampas 505 biji pil kuda, tujuh biji pil Erimin 5, empat paket plastik syabu dan enam bungkusan air ketum dalam serbuan kira-kira jam 5.05 petang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut hasil maklumat awam dan intipan dijalankan mengenai aktiviti pengedaran dadah di lokasi berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan dan menjadikan port berkenaan untuk urusan jual beli dadah memandangkan lokasi wakaf berkenaan yang agak tersorok.

“Selain merampas pelbagai jenis dadah, kita turut menemui beg plastik mengandungi tiub-tiub straw, sebilah gunting kecil, satu pengepit keluli kecil dan satu pemetik api yang dipercayai digunakan sebagai peralatan pembungkusan dadah,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pemeriksaan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala hanya suspek berusia 47 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.