‘Selamat Datang Ke Neraka’ -Antikapitalis

HAMBURG – Bandar raya Hamburg di Jerman yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) bersiap sedia menghadapi protes ganas dengan moto “Selamat Datang ke Neraka” anjuran aktivis-aktivis antikapitalis kelmarin.

Menurut AFP, Ketegangan di kota raya itu meningkat menjelang persidangan tersebut.

Kekecohan bermula malam Selasa lalu apabila polis menggunakan meriam air dan semburan lada untuk menyuraikan kem haram penunjuk perasaan, lapor Kosmo.

tindakan itu menyebabkan lima orang cedera dan mencetuskan kebimbangan bahawa lebih banyak rusuhan akan berlaku di bandar pelabuhan tersebut.

Sehingga 100,000 penunjuk perasaan dijangka mengadakan bantahan sebelum dan semasa sidang G20 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Sidang kemuncak itu dihadiri pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump, pemimpin Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping.

Bandar kedua terbesar di Jerman itu telah mengerahkan 20,000 anggota polis untuk mengawal lokasi mesyuarat G20 dan kawasan sekitarnya.

Anggota-anggota keselamatan turut dibantu oleh sejumlah kereta kebal, helikopter dan dron peninjau.

Sekitar 30 demonstrasi diumumkan sebelum dan ketika mesyuarat itu berlangsung. Siri bantahan itu dianjurkan oleh aktivis antiglobalisasi dan alam sekitar, kesatuan pekerja, pelajar dan kumpulan gereja.

Dalam pada itu, enam orang ditahan lewat kelmarin kerana membaling botol ke arah anggota polis ketika kira-kira 11,000 penunjuk perasaan berarak di Hamburg.

Polis turut menyiasat kebakaran di sebuah pusat edaran kereta Porsche yang menyaksikan lapan kereta mewah itu hangus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.