Ribuan Dijangka Hadir Meriahkan Rumah Terbuka PM Di Pekan Esok

PEKAN – Seramai 70,000 orang dijangka hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri 2017 di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, esok.

Pengerusi Publisiti majlis itu Mohd Zaidin Mohamad berkata majlis yang merupakan tradisi tahunan perdana menteri itu akan diadakan selama lima jam bermula pukul 10 pagi.

“Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka hadir sekitar pukul 10.30 pagi manakala Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bersama Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijadual berangkat tiba sekitar tengah hari.

“Turut berkenan berangkat ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zaidin menambah untuk tahun ini, seramai 100 pengusaha katering terlibat menyediakan lebih 200 jenis makanan tradisi yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri seperti lemang, ketupat dan rendang kepada pengunjung.

“Tetamu juga boleh merasai gulai patin tempoyak mengikut resipi setiap daerah serta makanan tradisi masyarakat Pahang dari sekitar negeri ini,” katanya.

Mohd Zaidin menambah pihaknya juga menyediakan tempat letak kenderaan dan memohon supaya tetamu yang hadir dapat memberi kerjasama bagi melancarkan perjalanan majlis serta tidak menyebabkan kesesakan jalan raya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.