Penumpang Cuba Buka Pintu Pesawat

SEATTLE – Seorang penumpang Delta Air Lines didakwa kerana cuba membuka pintu pesawat ketika berada di udara hingga memaksa anak kapal dan beberapa penumpang bergelut untuk menghentikan tindakannya.

Menurut Reuters, Joseph Daniel Hudek IV, 23, dari Tampa, Florida ditahan kelmarin ketika pesawat Boeing 767-300 yang membawa 221 penumpang dalam penerbangan dari Seattle ke China, lapor BH.

Tindakan Hudek memaksa pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma dan melakukan pendaratan tidak berjadual selepas dua jam berlepas.

Hasil siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati berlaku pergaduhan dalam penerbangan membabitkan seorang penumpang kelas pertama hingga memaksa pesawat itu berpatah balik dan penumpang terbabit didakwa.

Menurut FBI, insiden itu bermula ketika Hudek melangkah ke pintu depan pesawat dan bertindak memegang pemegang pintu pesawat lalu cuba membukanya.

Tindakannya menyebabkan berlaku pergelutan dengan anak kapal dan beberapa penumpang turut membantu untuk menghentikan tindakannya.

Hudek dikatakan berulang kali menumbuk seorang anak kapal dan penumpang lain sambil terus berusaha membuka pintu pesawat.

Tindakannya berjaya dihentikan apabila beberapa penumpang ikut campur dengan mengikatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.