Keriangan Syawal Dirai Seluruh Dunia

Hari raya hari untuk bergembira, dan ternyata, ia dipraktikkan oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.

Jika di Malaysia, kita cenderung menggambarkan lebaran dengan suasana pilu dan syahdu, di Asia Barat dan Asia Selatan terutamanya, Syawal disambut dengan penuh kegirangan. Bahkan, ia diraikan di taman-taman permainan atau taman tema, seperti memetik laporan Kosmo.

Kanak-kanak terutamanya meraikan Aidilfitri seperti satu anugerah yang datang setahun sekali. Tidak kira di negara yang sedang bergolak, dalam kancah peperangan atau kemiskinan, mereka melupakan kedukaan buat seketika.

Di Syria, Iraq, Palestin, Mesir, Afghanistan dan Pakistan mahupun Amerika Syarikat, mereka mempunyai pendekatan menyambut lebaran yang agak berbeza daripada penduduk Asia Tenggara.

Di Mesir, selepas pulang daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid baru-baru ini, orang ramai dihujani belon-belon berwarna-warni yang diturunkan berhampiran kawasan lapang berhampiran masjid. Ia dapat dilihat di Masjid El-Seddik, Kaherah.

Kanak-kanak Syria yang berpakaian baharu meraikan hari raya di sebuah taman permainan di Damsyik.

Taman tema

Sehubungan itu, umat Islam Palestin pula kelihatan meraikannya di sebuah taman tema di West Bank City manakala penduduk Islam Pakistan yang lengkap berpakaian tradisi kurta tidak kira tua dan muda memenuhi taman-taman tema di Islamabad dan Rawalpindi.

Dalam pada itu, di Amerika Syarikat, kelihatan kanak-kanak Islam meraikannya dengan bermain di taman tema South Brunswick Township, New Jersey.

Sementara itu, di Damsyik, Syria, kanak-kanak yang berpakaian cantik bersuka ria di taman-taman permainan awam. Di Mosul, Iraq kanak-kanak bermain di taman-taman permainan boleh alih berlatar belakang tanah yang tandus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.