Helang Merah Mengamuk Di Shah Alam

JUARA bertahan Piala Malaysia, Kedah menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila berpesta gol menewaskan kelab Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia di Shah Alam malam tadi.

Dalam aksi itu, Muhammad Syafiq Ahmad membuka tirai perlawanan seawal minit ketiga sebelum perancang import skuad Helang Merah, Liridon Krasniqi menggandakan kedudukan pada minit ke-43.

Bersambung di separuh masa kedua perlawanan, pasukan tuan rumah cuba merapatkan jurang jaringan, tetapi benteng pertahanan Kedah yang diketuai Khairul Helmi Johari berjaya menggagalkan setiap asakan wakil Liga Premier itu, lapor Kosmo.

Ken Ilso Larsen meletakkan kedudukan Kedah berada dalam keadaan selesa apabila meledak gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-80.

Sandro da Silva dan Muhammad Ariff Farhan menghukum kerapuhan benteng pertahanan UiTM dengan meledak dua gol pada masa kecederaan.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Perak berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur 3-0 dalam saingan Kumpulan B.

Gilmar Jose Da Silva menjadi wira The Bos Gaurus apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan 82 dan Leandro Dos Santos turut tidak ketinggalan melakarkan nama selaku penjaring pada minit ke-72.

Dalam saingan Kumpulan A, Pahang diikat kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 1-1, manakala Negeri Sembilan gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila seri 3-3 dengan T-Team.

Johor Darul Ta’zim yang membariskan pemain tempatan pula diikat tanpa jaringan oleh skuad Sang Penyu di Kuala Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.