Hamas Ajak Semua Puak Palestin Bersatu Hadapi Israel

KUALA LUMPUR – Ketua pergerakan Hamas yang berpangkalan di Gaza, Ismail Haniyeh menggesa puak-puak yang tidak sehaluan di Palestin untuk bekerjasama dalam mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas bagi membentuk kerajaan bersatu.

Beliau menekankan hanya menerusi penyatuan Hamas, Fatah dan fraksi yang berlainan, akan dapat menamatkan cengkaman dan kekejaman penjajahan Israel.

Menurut Haniyeh, rakyat Palestin sendiri perlu mengambil inisiatif untuk mentadbir dan menguruskan tanah air mereka, serta menegaskan Baitulmaqdis kekal sebagai paksi perjuangan Hamas.

“Kita seharusnya menolak sebarang usaha untuk mewujudkan negara alternatif bagi rakyat Palestin (seperti yang dicadangkan sesetengah pihak),” katanya dalam ucapan sulung beliau setelah terpilih sebagai pemimpin baharu politik Hamas.

Salinan teks ucapan Haniyeh turut dihantar Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) kepada Bernama.

Katanya, rakyat Palestin menentang tindakan agresif, kepungan dan usaha Israel untuk memasukkan unsur-unsur Yahudi di Baitulmaqdis.

Sehubungan itu, kata Haniyeh, Hamas akan melakukan apa yang termampu untuk menyekat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang menindas, mengepung dan merampas tanah untuk dijadikan penempatan haram, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengulas mengenai Tebing Barat, Haniyeh berkata Hamas menggunakan kaedah serampang dua mata, iaitu menyokong usaha rakyat Palestin menghadapi perancangan musuh serta melakukan penentangan terhadap musuh yang menduduki kawasan itu.

Ketika mengulas mengenai isu pelarian yang disifatkan beliau sebagai isu politik, Haniyeh berkata pelarian Palestin mempunyai hak untuk pulang ke negara asal mereka.

Beliau turut menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar melaksanakan tanggungjawab sehingga rakyat Palestin dapat pulang ke tanah air mereka.

Haniyeh turut melahirkan penghargaan kepada beberapa negara Arab iaitu Qatar, Arab Saudi, Mesir, serta Turki dan Iran yang menyokong perjuangan rakyat Palestin selain menyediakan bantuan kemanusiaan dan kewangan.

Jelasnya, baru-baru ini Hamas telah menghantar satu delegasi ke Mesir, yang dijangka akan memberi impak positif terhadap kehidupan rakyat Palestin di Gaza.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada masyarakat antarabangsa yang tidak putus-putus memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan berusaha untuk merumuskan jalinan kerjasama dengan pertubuhan dan komuniti antarabangsa di masa hadapan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.