FELDA United Tewaskan PKNS FC

KUALA LUMPUR – Thiago Augusto muncul wira FELDA United selepas jaringannya pada lewat permainan membolehkan skuad The Fighters menewaskan PKNS FC 2-1 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian B Sathianathan menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.

Bagi PKNS pula, kekalahan kedua berturut-turut meletakkan mereka kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

PKNS yang tampil dengan misi menebus kekecewaan tewas 0-2 kepada Perak pada aksi pertama di Ipoh, Selasa lalu bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal FELDA United pada minit kelima menerusi Zah Rahan Krangar.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNS cuba bangkit dan mereka terpaksa menunggu hingga masa tambahan babak pertama untuk menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada babak kedua namun gagal menambah jaringan.

Namun, ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan keputusan seri, Augusto muncul wira The Fighters apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88.

Kedudukan 2-1 memihak pelawat kekal hingga wisel penamat. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.