FELDA Lantik 2 Wakil Dalam FGV

JOHOR BAHRU – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bersetuju meletakkan dua wakil daripada FELDA sebagai Lembaga Pengarah Syarikat dalam usaha menangani kemelut yang melanda entiti itu.

Sebelum ini, FELDA beberapa kali menyuarakan permintaan mahu meletakkan tiga wakil dalam Lembaga Pengarah FGV bagi membolehkan FELDA yang juga antara pemegang saham terbesar bersama-sama dalam perjalanan syarikat itu.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan bersama pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, minggu lalu.

Katanya, dua wakil daripada FELDA yang akan dilantik itu termasuk dengan satu jawatan gantian.

“Sebelum ini FELDA meminta tiga wakil diletakkan dalam Lembaga Pengarah FGV dan itu menyebabkan FGV terpaksa menambah bilangan Ahli Lembaga Pengarah kepada maksimum 13 daripada 12 sedia ada.

“Berdasarkan perbincangan bersama syarikat (FGV) dan pemangku Pengerusinya, FELDA bersetuju meletakkan dua wakil dengan satu ‘alternate’ (gantian) sebagai Lembaga Pengarah.

“Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 11 Ahli Lembaga Pengarah iaitu tiga lantikan kerajaan, dua daripada FELDA dan enam lagi Lembaga Pengarah Bukan Bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.