Waspada Manipulasi Pembangkang – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO diingatkan berwaspada terhadap pembangkang yang sentiasa menangguk di air keruh untuk merobohkan perpaduan parti itu.

 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, akar umbi parti perlu mengambil sikap berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi.

 

“Pelbagai isu berlaku di sekeliling kita sejak kebelakangan ini khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan disiarkan oleh portal umno-online.my hari ini.

 

Menurut Tengku Adnan, beliau menyeru semua ahli UMNO untuk meneruskan fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diaturkan.

 

“Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka, malah sikap mereka yang kononnya gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi.

 

“Sehubungan itu, sekali lagi saya mengajak ahli-ahli UMNO sekalian untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.