UMNO Selangor Agak Lembab – Tengku Rethwan

Shah Alam – Tokoh korporat, Dato’ Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor melihat Umno di peringkat bahagian khususnya di Selangor gagal memainkan peranan yang sepatutnya bagi memberi penjelasan tentang isu isu semasa kepada rakyat khusus ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

 

Menurutnya gerak kerja khususnya di peringkat penerangan seharusnya bermula dari sekarang dan bukannya menunggu sehingga pilihanraya.

 

“Setakat ini saya melihat Umno Selangor agak lembab khususnya di peringkat bahagian-bahagian.

 

“Ini kerana saya melihat Umno di peringkat bahagian gagal memberikan penerangan yang baik untuk menjelaskan isu-isu seperti 1MDB, GST dan sebagainya” katanya secara eksklusif kepada SuaraTV dalam satu pertemuan yang diadakan di Shah Alam petang semalam.

 

Menurutnya kegagalan itu juga telah menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis terhadap parti keramat orang Melayu itu. Hal ini dikusutkan pula dengan beberapa tohmahan-tohmahan liar oleh pihak dalam dan luar negara bertujuan menjejaskan imej Pemimpin dan parti UMNO itu sendiri.

 

Tengku Rethwan menegaskan, Umno seharusnya mengunakan peluang perpecahan dalaman yang sedang melanda pakatan rakyat untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan bukannya sekadar berpeluk tubuh.

 

“Umno khususnya di Selangor seharusnya mencari seorang pemimpin yang mempunyai pengaruh kerana pemimpin yang ada pada ketika ini kurang diterima oleh masyarakat.

 

“Sekiranya Umno Selangor mempunyai seorang ‘ikon’ yang boleh membuat keputusan yang radikal dari segi imej, karisma, mempunyai tenaga dan yang paling penting mampu memberi harapan baru kepada rakyat. Sebagai contoh antara faktor kemenangan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat ialah kerana dia dilihat mampu menyinarkan harapan kepada masyarakat dan pengundi di negara itu yang telah terjejas teruk oleh pemimpin-pemimpin Amerika ysang terdahulu” katanya.

 

Menurutnya lagi, antara pendekatan yang perlu diambil pada ketika ini adalah menukar pemimpin yang ada serta memberi tumpuan untuk menarik minat golongan muda terhadap UMNO.

 

“Seperti yang saya katakan tadi, yang penting adalah gerak kerja penerangan, ahli-ahli di peringkat akar umbi mungkin tidak mengharapkan penerangan secara 100 peratus namun ia perlu dilakukan secara strategik.

 

“Saya melihat Umno Selangor pada ketika ini tidak mempunyai pemimpin yang cemerlang, disebabkan itu mereka gagal untuk memimpin rakyat kearah yang lebih baik dan pendekatan yang terbaik ialah dengan menukarkan pemimpin yang ada” ujarnya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.