Tuduhan WSJ Berniat Jahat, Najib Tegaskan Tidak Ambil Dana 1MDB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak pernah mengambil dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan diri sendiri.

 

“Tuduhan The Wall Street Journal (WSJ) merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong pihak tertentu dalam negara untuk bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” tulis Najib dalam laman blognya hari ini.

 

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh WSJ berasas atau tidak.

 

“Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut,” kata Najib.

 

Beliau juga mengesahkan telah mengarah pihak peguam menghantar surat kepada WSJ hari ini bagi meminta pengesahan mengenai laporan surat akhbar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang (surat tuntutan).

 

“Sebagaimana arahan saya, surat peguam tersebut meminta WSJ mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana USD700 juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB.

 

“Peguam saya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendapat pengesahan dari akhbar tersebut,” kata Najib.

 

WSJ dalam artikelnya Jumaat lalu mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan kepada akaun peribadi Najib.

 

Namun Najib dan pihak 1MDB membuat kenyataan menafikan laporan tersebut.

 

Pada hari  yang sama, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan di akaun Facebook menyelar tindakan beberapa individu yang “menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi, memburukkan nama baik kerajaan dan menjatuhkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.”

 

Menurut kenyataan itu, dakwaan terbaharu ini merupakan sabotaj politik berterusan bertujuan memperdaya pihak media dan orang ramai dengan menggunakan dokumen yang telah dipinda.

 

Pada Selasa, Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan dana disalurkan ke akaun Najib  memaklumkan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit telah menerima arahan pembekuan.

 

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.