Tiada Akaun PM Yang Dibekukan – Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengesahkan perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai tidak melibatkan mana-mana akaun bank peribadi milik perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Peguam Negara, Abdul Gani turut menekankan beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan.

 

“Membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mepunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan,” jelasnya.

 

Menurut Abdul Gani, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan.

 

Semalam, pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan tersebut memaklumkan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit telah dibekukan.

 

Dalam pada itu, kata Abdul Gani, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas.

 

Tegas Abdul Gani, tidak timbul persoalan “whistle-blowing” kerana perkara berkenaan sudah dalam siasatan.

 

Kenyataan peguam negara itu dibuat susulan kebimbangan terdapatnya kebocoran maklumat dari dalam pasukan petugas khas yang dibentuk.

 

Menurutnya, kebimbangan itu turut disokong Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

 

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dakwaan daripada sumber bahawa tiga daripada enam akaun yang dibekukan adalah milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Menurut portal itu, dua akaun tersebut ialah daripada AmBank dan Affin Bank.

 

Siasatan dibuat susulan laporan akhbar Wall Street Journal (WSJ), pada Jumaat, yang mendakwa dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion) telah disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

 

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Najib dan 1MDB.

 

Beberapa pihak dalam pada itu menggesa Najib mengambil tindakan terhadap WSJ untuk membersihkan namanya dan mempertahankan integriti kerajaan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.