Program Felo Perdana Lahirkan Pemimpin Masa Depan – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji usaha melaksanakan Program Felo Perdana kerana program sedemikian mampu melahirkan bakal pemimpin berwibawa dalam kalangan generasi baharu.

 

Perdana Menteri berkata, program tersebut yang berorientasikan latihan amali dapat membentuk seseorang felo itu mencambahkan buah fikiran baharu dan bernas kepada kerajaan.

 

“Objektif program felo ini adalah perkongsian idea dan cadangan yang kita (kerajaan) mahu dengar daripada anak-anak muda kerana itu akan membantu pegawai-pegawai tinggi kerajaan dalam membentuk dasar,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana kepada Menteri Kabinet di sini hari ini.

 

Sebanyak 83 orang felo dibahagi-bahagikan kepada menteri-menteri Kabinet.

 

Tahun ini, merupakan tahun ketiga Program Felo Perdana diadakan dengan tahun pertama sebanyak 150 orang felo yang disenarai pendek telah diserapkan ke kementerian-kementerian.

 

Di bawah program itu, setiap menteri akan menerima dua orang felo yang terpilih terdiri daripada para pelajar universiti dalam dan luar negara, termasuk pelajar dari Universiti Cambridge, Oxford dan UCLA.

 

Felo yang pelbagai latar belakang akademik ini akan menjalani latihan amali di kementerian-kementerian untuk tempoh antara tiga sehingga enam bulan.

 

Perdana Menteri sendiri menerima sebanyak lima orang felo. Turut menerima felo ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Najib juga mengingatkan para felo agar menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam tempoh latihan amali.

 

“Pengalaman menjalani internship adalah satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.