Padah Curi Resit Transaksi Pelanggan, Juruwang Dipenjara, Denda

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang juruwang mencuri resit transaksi pembelian milik pelanggan bagi mendapatkan hadiah membawa padah apabila dia dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret.

 

Mohd Azwa Arifin, 26, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM650 selepas dia mengaku bersalah cuba menggunakan resit yang telah dimasukkan dalam kotak peraduan untuk membuat penukaran dua pasang kasut berharga RM314.50, seolah-olah resit itu miliknya.

 

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di kaunter khidmat pelanggan Pasaraya Aeon Alpha Angle cawangan Wangsa Maju di sini pada pukul 9.01 malam, 22 Mei lepas.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan tertuduh dipenjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda itu.

 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.