Najib Beri Tempoh 14 Hari Kepada WSJ Sebelum Ambil Tindakan Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal (WSJ) berikutan laporan yang mendakwa dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun peribadinya.

 

Menerusi surat yang dikeluarkan oleh firma guaman Najib, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak itu, Najib menggesa agar WSJ mengesahkaan laporan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut yang menuduh beliau menyalahgunakan sejumlah dana dari 1MDB.

 

Dalam surat yang dihantar kepada lembaga pengarah WSJ, Dow Jones dan Syarikat Inc, peguamnya memberi tempoh selama 14 hari kepada WSJ untuk memberikan maklum balas tanpa ragu-ragu terhadap tuduhan berkenaan.

 

“Kami diarahkan oleh pelanggan (Najib) kami untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia adalah pendirian anda seperti dalam artikel itu, yang mana pelanggan kami menyalahgunakan hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad.

 

“Dalam keadaan itu dan demi kepentingan pelanggan kami, kami mahukan sebuah akhbar di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi menyatakan tanpa ragu-ragu dan dengan jelas sama ada ia adalah pendirian anda bahawa pelanggan kami menyalahgunakan kira-kira US$ 700 juta yang dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad,” katanya.

 

Selain itu, firma undang-undang itu juga menggariskan beberapa langkah yang perlu dipatuhi sebelum sebarang tindakan undang-undang yang muktamad boleh diteruskan.

 

“Pertama, kita telah diarahkan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam penulisan, pengedaran dan penerbitan.

 

“Kedua, hal lain yang menjadi perhatian adalah isu-isu bidang kuasa di mana penerbitan yang berasal dari Amerika Syarikat dan boleh diakses di seluruh dunia.

 

“Ketiga adalah untuk mencari semua penyelesaian undang-undang yang mungkin atau munasabah di mana pelanggan kami boleh diberikan khidmat nasihat atas tindakan fitnah, tindakan selanjutnya yang lebih tegas dan sebarang penyelesaian termasuk pelanggaran undang-undang oleh WSJ dan syarikat-syarikat berkaitan dan (jika ada) pihak bersubahat,” katanya. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.