Liga Perdana: Cedera, Letih Punca T-Team Tewas Kepada Kedah

KUALA TERENGGANU – Kecederaan dan kepenatan beraksi dalam bulan Ramadan menjadi antara penyumbang kekalahan 0-2 pasukan T-Team kepada Kedah di laman sendiri malam tadi, sekali gus kehilangan posisi sebagai pendahulu Liga Perdana.

 

Lebih malang, kekalahan berkenaan turut meleburkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu di laman sendiri.

 

Steinbruckner mengakui beberapa pemainnya gagal memberikan persembahan terbaik sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan.

 

“Beberapa pemain tidak dapat beraksi seratus peratus kerana masalah kecederaan dan pemain juga nampak sedikit letih beraksi pada bulan puasa,” katanya.

 

Selain itu, ketiadaan pemain tengah, Sadriddin Abdullaev yang tidak dapat diturunkan kerana penggantungan selepas menerima tiga kad kuning, turut memberi kesan kepada kelancaran enjin tengah pasukan.

 

Selepas mengharungi 15 perlawanan, T-Team mengumpul 33 mata, kurang satu daripada Kedah yang merampas posisi pendahulu selepas sekian lama mengekori rapat.

 

Bekas ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan Croatia itu berharap anak didiknya akan kembali menemui rentak cemerlang selepas sambutan Aidilfitri ini untuk merebut kembali takhta liga.

 

Dalam perlawanan dua pasukan teratas liga itu, gol pelawat di babak kedua menerusi Sandro da Silva Mendonca pada minit ke-50 dan Muhammad Farhan Roslan, 11 minit kemudian, sudah cukup memberikan tiga mata buat skuad Hijau Kuning.

 

Sementara itu, jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, namun mengakui perjalanan masih jauh untuk memastikan kejuaraan liga milik mereka.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.