Khalid Samad Dibidas Beri Kata Dua Kepada Kepimpinan PAS

DAMANSARA –  Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad memberi kata dua kepada kepimpinan tertinggi Pas disifatkan sebagai agenda tersendiri dan tidak ada kena mengena dengan kepimpinan Pas Selangor.

 

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataan yang dibuat beliau kelmarin adalah kenyataan peribadi pemimpin itu.

 

“Kita tak mahu fikirkan tentang itu, fokus kita sekarang turun ke setiap negeri menyampaikan agenda yang kita perjuangkan selama ini dan kita juga nak tengok maklum balas dari akar umbi.

 

“Kita dah turun ke Pulau Pinang, minggu lepas ke Selangor, Kelantan dan Johor. Fokus ini lebih penting daripada kita membuat sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui pada majlis agihan zakat bersama Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB), di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, semalam.

 

Beliau mengulas kenyataan Khalid yang memberi kata dua kepada kepimpinan tertinggi Pas supaya mengembalikan suasana serta hubungan dengan PKR dan DAP seperti sebelum ini atau berdepan risiko perpecahan dalaman dalam parti itu.

 

Iskandar turut mengkritik tindakan Khalid dan pihak-pihak terlibat mendedahkan agenda mereka.

 

“Kalau nak bagi kata dua macam polis bolehlah…kalau tak serah diri mereka akan tangkap. Dalam politik, saya rasa tak payahlah, tidak ada apa yang penting pun,” katanya.

 

Mengulas mengenai hubungan PR di negeri ini, katanya  di Selangor hubungan mereka tiada masalah.

 

“Saya harap hubungan PR di Selangor dapat jadi contoh kepada negeri-negeri lain supaya dapat diteruskan seperti sebelum ini,” katanya.

 

Terdahulu, PHSSB yang bertanggungjawab menguruskan PPR Kota Damansara dan PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam mengagihkan zakat berupa barang keperluan harian kepada 150 penghuni masing-masing 60 di PPR Kota Damansara dan 90 lagi di PPR Kampung Baru Hicom. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.