DAP Dakwa PAS Kini Membela Najib

GEORGETOWN – Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat seperti membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu berkaitan 1MDB.

 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa setiap dakwaan terhadap Perdana Menteri itu perlu di serta dengan empat orang saksi adalah mengejutkan.

 

Menurutnya, Abdul Hadi tidak boleh menyamakan kes penyelewengan dengan kes liwat bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah berbeza.

 

“Ini adalah suatu yang mengejutkan kerana kes 1MDB tidak sama dengan kes Anwar. Saya tak nak komen mengenai kes Anwar kerana ia melibatkan kes akhlak namum jika dalam kes rasuah juga perlu dikemukakan empat orang saksi maka akan bebas untuk orang melakukan rasuah.

 

“Saya rasa apa yang dinyatakan Pas tidak berlaku di negara Islam lain malah di sana cukup sekadar bukti melalui dokumen dan transaksi untuk mendakwa seseorang yang terlibat dengan skandal rasuah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kenyataan Abdul Hadir yang mengatakan sebarang tuduhan mahupun dakwaan terhadap Perdana Menteri perlu disertakan dengan bukti dan saksi yang adil.

 

Abdul Hadi berkata, Perdana Menteri bukan malaikat tetapi manusia biasa, jadi dakwaan salah laku terhadapnya mestilah dikemukakan saksi yang dapat mengesahkan tuduhan berkenaan.

 

Guan Eng berkata, interpretasi yang dipakai Abdul Hadi dalam isu 1MDB semata-mata mahu membela Najib dan ia sependapat dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din sebelum ini menyifatkan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) tidak logik dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dahulu.

 

Beliau berkata, kenyataan dua pimpinan tertinggi Pas itu mengelirukan kerana dalam masa yang sama setiausaha agung parti itu menyatakan Pas berdiri bersama dalam menentang skandal 1MDB.

 

“Satu pihak cakap menentang isu skandal 1MDB dan satu pihak lagi dilihat menyokong Perdana Menteri.

 

“Saya rasa rakyat boleh menilai macam mana kepimpinan Pas sekarang yang jauh berubah,” katanya.

 

Guan Eng berkata, kepimpinan baharu Pas tentu akan tetap berdiri dengan Perdana Menteri dan pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk melihat dan menilai wajah baharu kepimpinan Pas. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.