Budak 8 Tahun Mangsa Terbaru Mercun Bola

PULAU PINANG – Seorang ibu tidak menyangka bunyi dentuman kuat dan jeritan meminta tolong di luar rumahnya di sini petang semalam, adalah daripada anak lelakinya yang cedera akibat terkena mercun bola.

 

Suraya Md. Desa, 40, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja pulang dari mengajar di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena di sini, kira-kira pukul 2 petang.

 

Ketika itu katanya, dia turut melihat kelibat anak lelakinya, Muhamad Hanif Mohd. Rozaimi, 8, di dalam rumah sebelum secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan jeritan anaknya meminta tolong.

 

“Ketika itu Muhamad Hanif pun baru pulang dari sekolah dan katanya dia terjumpa beberapa biji mercun bola di dalam rumah sebelum membakar mercun itu di pekarangan rumah kami.

 

“Akibatnya, mercun bola itu meletup ditangannya dan menyebabkan bahagian muka dan tangannya melecur teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

 

Menurut Suraya, ekoran kejadian itu, Muhamad Hanif yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dikejarkan ke Hospital Kepala Batas sebelum dipindahkan ke HPP.

 

Katanya, keadaan anaknya itu ketika ini bertambah baik meskipun kesan melecur dapat dilihat dengan jelas terutama pada bahagian mata kiri.

 

“Setakat semalam doktor memberitahu tiada kecederaan serius pada bahagian mata Muhamad Hanif tapi pemeriksaan lanjut akan dibuat esok bagi memastikan kecederaannya itu tidak menjejaskan penglihatannya.” – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.