Bantuan RM561,000 Kepada 252 Malim Gunung Selama Tiga Bulan

RANAU – Sumbangan kepada malim gunung yang dianggap sebagai ‘wira tak didendang’ semasa kejadian gempa bumi ditunaikan melalui pemberian bantuan bulanan kepada golongan itu bermula bulan ini.

 

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abd. Azeez Abd. Rahim berkata, bantuan bulanan yang diberikan oleh biro tersebut disalurkan kepada 252 orang malim gunung yang terjejas mata pencarian akibat bencana itu.

 

Jelasnya, peruntukan bantuan bulanan selama tiga bulan yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM561,000 itu mengambil kira aktiviti pendakian Gunung Kinabalu yang terpaksa ditutup selama tiga bulan bagi membolehkan kerja pembaikan laluan pendakian dilakukan.

 

“Bagi menunaikan janji yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, semua malim gunung yang aktif dan sambilan akan diberikan bantuan bulanan selama tiga bulan.

 

“Malim gunung yang berdaftar dan aktif akan diberikan bantuan sebanyak RM800 manakala malim gunung yang berkhidmat secara sambilan akan diberikan RM400,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada semua malim gunung berdaftar, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ranau, Datuk Amisah Yasin dan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi.

 

Mengulas lanjut Abd. Azeez berkata, seramai 212 orang malim gunung yang berkhidmat secara tetap akan menerima bantuan bulanan berjumlah RM800 manakala 40 malim gunung secara sambilan akan memperoleh RM400.

 

Menurutnya, pembayaran bantuan pada dua bulan seterusnya kepada kumpulan malim gunung tersebut akan diserahkan untuk diuruskan oleh UMNO Bahagian Ranau.

 

Ditanya sama ada Biro Kebajikan UMNO akan terus membuat pembayaran selepas bulan ketiga sekiranya aktiviti pendakian masih ditutup, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

 

Namun begitu katanya, pada dasarnya perkara tersebut tidak menjadi masalah untuk diteruskan terutama dalam memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik.

 

Terdahulu, beliau yang juga Ahli MT UMNO turut menyerahkan sumbangan kepada 11 orang warga emas yang terlantar sakit di Kampung Sinisian, dekat sini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.