Wujud Tekanan Ke Atas Kedudukan Islam Dan Melayu

Petaling Jaya – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyatakan bahawa sememangnya wujud tekanan demi tekanan ke atas kedudukan Islam, dan terdapat juga perancangan rapi dan tersusun yang boleh mengakibatkan bangsa Melayu terpinggir dan merana di bumi sendiri.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman, terdapat banyak bukti kukuh yang membenarkan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Sememangnya terdapat bukti kukuh di mana pihak-pihak tertentu sedang memaksa kehendaknya ke atas orang Melayu Islam dan menafikan kedaulatan mereka serta hak-hak mereka yang dijamin perlembagaan,” katanya.

Tambah Abdullah, tidak ada kontroversi dalam kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebagaimana yang didakwa oleh DAP yang cuba membayangkan bahawa Muhyiddin seorang yang ta’asub dan pelampau dan anti-bukan Melayu.

“Sebaliknya merekalah (DAP) yang melampau dan ekstrim serta lupa daratan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan umat Islam agar sedar ancaman yang dihadapi dan negara sedang menjurus ke arah konflik kaum.

Abdullah turut menjelaskan bahawa, pihaknya tahu bahawa mereka cuba membuat tekanan supaya Tan Sri Muhyiddin dan beberapa pemimpin UMNO lain disingkir daripada kabinet.

“Kecaman yang dibuat DAP adalah sebahagian daripada tekanan ke arah tersebut. DAP dan parti-parti Cina berselindung di sebalik slogan multiracial untuk memaksa kehendak mereka dan menidakkan hak-hak kaum Melayu dan Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.