Rejim Zionis Terus Gempur Gaza

Gaza – Israel terus melancarkan beberapa serangan udara di Gaza awal hari ini, mengakibatkan sembilan orang terbunuh, ketika tanda-tanda intifada (kebangkitan) ketiga semakin jelas apabila pertempuran dilaporkan berlaku di seluruh Palestin sejak beberapa hari lalu.

Kematian yang dicatatkan itu sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam tempoh sehari sejak perang sempadan selama lapan hari pada 2012, lapor AFP.

Hamas dalam kenyataannya berkata, serangan rejim Zionis itu dilancarkan ke atas pusat pertemuan anggotanya di bandar Rafah bersempadan dengan Mesir, manakala beberapa lagi serangan turut disasarkan di utara Gaza.

Jelas pergerakan itu, sembilan anggotanya terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan di kedua-dua lokasi.

Israel mengesahkan serangan itu dengan alasan membalas serangan roket Hamas ke selatan wilayah Israel dan mendakwa memusnahkan sembilan sasaran termasuk beberapa pelancar roket.

Sementara itu, berita kematian remaja Palestin, Mohammed Abu Khudair, 16, yang dibunuh dan dibakar oleh pelampau Yahudi menyemarakkan semangat rakyat Palestin untuk bangkit menentang kekejaman Israel di setiap pelosok negara.

Pertempuran antara penduduk Palestin dan pihak keselamatan Israel di beberapa perkampungan dan pekan termasuk timur Baitulmaqdis masih berlanjutan masuk hari kelima berturut-turut, menyaksikan sejumlah penunjuk perasaan ditahan.

Dalam perkembangan sama, polis rejim Zionis Israel menahan enam suspek Yahudi yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan Abu Khudair pada minggu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.