Nik Michael Nekad Ambil Tindakan Terhadap Penyebar Fitnah

Chef selebriti Nik Michael Imran, 24, naik angin dan cukup kesal apabila timbul dakwaan beliau kononnya tidak menghormati waktu berbuka puasa. Beliau yang juga merupakan pemilik restoran PickNik yang terletak di Publika, Solaris Dutamas ini, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah.

“Tuduhan yang mengatakan saya tidak sensitif terhadap waktu berbuka adalah sangat mengarut. Itu fitnah! Orang yang buat cerita itu sangatlah busuk hati dan sengaja cari pasal dengan menimbulkan isu ini.

“Pada hari tersebut ada ramai orang yang yang boleh jadi saksi bahawa tuduhan itu sama sekali tidak benar”, itu respon Nik Michael apabila diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut, ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anuran Air Asia dan Air Asia X, bertempat di hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, malam tadi.

Semalam, sebuah akhbar tempatan ada menyebut yang Nik Michael tidak sensitif akan waktu berbuka puasa. Kejadian berlaku pada 2 Ramadan lalu.

Pada hari tersebut, ada jemputan sebuah syarikat gergasi ke restoran milik Chef itu untuk memperkenalkan perkakasan masakan. Bila majlis bermula, Nik Michael dikatakan galak memperkenalkan perkakasan elektrik yang digunakan sehinggalah Azan Maghrib sudah berkumandang dia masih juga belum berhenti membuat demonstrasi.

Tetamu yang hadir hanya dihidangkan makanan pada pukul 8.15, iaitu ketika sudah hampir hendak masuk waktu Isyak. Lantas tindakan Nik Michael itu sifatkan sebagai tidak menghormati waktu berbuka dan juga para tetamu yang beragama Islam yang berada di majlis itu.

Ada Tatu?
Mengulas lanjut mengenai isu itu, tambah Nik Michael lagi, dia berasa terkilan. Malah jejaka berdarah kacukan Melayu-Australia ini tekad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sengaja menyebarkan fitnah tersebut.

“Perkara ini sikit sebanyak telah menjejaskan nama saya dan juga restoran saya. Saya mahu mengambil tidakan terhadap individu yang telah menyebarkan fitnah ini.

“Bahkan tabah mengecewakan, ekoran laporan akhbar tersebut, ada pula komen mengatakan saya mempunyai tatu. Tuduhan tentang itu mengarut!”, katanya dengan nada tegas.

Bagaimanapun dia mengaku yang makanan hidangan utama dihidangkan lewat 20 minit. Tetapi sementara menanti, para tamu telah dijamu dahulu dengan juadah ‘alas perut’ iaitu kurma, kuih buah melaka, kuih seri muka dan kentang goreng.

“Saya akui hidangan utama siap lewat 20 minit kerana saya sendiri yang mahu masakkan di hadapan mereka. Tetapi sementara menunggu, kami sediakan kurma, kuih buah melaka, kuih seri muka dan kentang goreng untuk mereka jamah dulu.

“Saya terkilan bila dituduh tak bagi orang makan. Sedangkan sudah menjadi tugas saya untuk memberi makan kepada orang. Sudah dua tahun saya uruskan restoran saya, jadi semestinya saya sudah tahu bagaimana hendak melayan para pelanggan yang datang di restoran saya terutama ketika bulan Ramadan”, tuturnya.

Ditanya sekiranya individu berkenaan tampil dan memohon maaf kepadanya, apakah dia tetap mahu mengambil tindakan?

“Saya sudah pun mendapat kerjasama daripada pihak agensi yang menganjurkan acara berkenaan, tempoh hari. Saya akan tetap ambil tindakan terhadap individu itu kerana pada saya, kalau pun dia datang minta maaf, dia tidak ikhlas.

“Saya buat semua ini untuk mempertahankan nama baik saya. Pada saya, orang seperti ini hanya berani cakap di belakang saja tetapi tidak berani untuk cakap depan-depan”, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.