Menteri Besar Selangor: Rakyat Selangor Terdesak Atau Siapa Yang Mendesak?

Oleh Riana Abd Aziz

Kemelut pentadbiran negeri Selangor dilihat seakan tiada kesudahan. Drama sandiwara antara pemimpin parti terutama dari Parti Keadilan Rakyat jelas menunjukkan betapa mereka dalam keadaan krisis hubungan sesama mereka yang tidak mampu ditutup lagi dan ianya berlaku secara terang-terangan di hadapan rakyat Selangor sendiri.

Kecelaruan yang memalukan ini menyebabkan Pengarah Strategi, Rafizi turut menerima bahangnya bila ada wakil cabang dengan terang minta beliau undur dari jawatan tersebut kerana gagal turunkan Khalid Ibrahim dari kerusi Menteri Besar.

Rafizi cuba ‘betulkan’ Langkah Kajang atau Kajang Move, kononnya perancangan untuk gugurkan Khalid Ibrahim hanya lari sedikit masa dari jadual asalnya. Namun penjelasan ini tidak mampu untuk perbodohkan ahli parti yang jelas matang dengan mainan politik Rafizi yang setahun jagung kenal apa itu sepak terajang politik.

Penganalisis politik pro Pakatan melihat kecelaruan ini menimbulkan persoalan baru, siapakah sebenarnya yang beria-ia hendakkan perubahan pucuk Pimpinan Negeri Selangor? Rakyat atau Pemimpin Parti yang bernafsu besar?

Kalau diperhalusi, rakyat Selangor tidak pernah suarakan perasaan tidak puashati terhadap Tan Sri Khalid, kalau ada mungkin sudah lama ada demostrasi besar-besaran di hadapan Pejabat Menteri Besar. Ini kerana perangai ahli parti Keadilan Rakyat amat gemar timbulkan huru hara kalau mereka inginkan sesuatu, demostrasi sudah menjadi darah daging perjuangan mereka dalam menuntut apa sahaja yang mereka fikir perlu sebagai modal politik busuk mereka.

Sehingga kini, negeri Selangor aman dan tidak ada rakyat Selangor yang bangun dan memaksa Khalid turun dari kerusi empuk tersebut. Kecoh hanya dilakukan oleh pemimpin parti sahaja.

Keadaaan ini menyebabkan sebahagian besar pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang gila kuasa menggunakan cara kotor untuk tunjukkan betapa Khalid bukan lagi mampu untuk tadbir Selangor dengan baik. Mereka ‘kalahkan’ Khalid diperebutan jawatan dalam Cabang agar rakyat Selangor menilai bahawa kalau ahli parti di tempat sendiri tidak percayakan Khalid Ibrahim, bagaimana beliau mampu lagi untuk terus memimpin Selangor?

Menurut pengalisis politik lagi, kesilapan mereka adalah kerana penggal yang lalu, Khalid ditonjolkan sebagai seorang Menteri Besar yang hebat dengan berjaya tunjukkan angka peningkatan Rizab Negeri dan mainan angka jumlah pelaburan yang masuk ke Selangor juga meningkat naik. Canang yang keterlaluan akhirnya memakan diri sendiri. Anwar gigit jari tangan, Azmin Ali gigit jari kaki dan Kak Wan Azizah gigit kipas China.

Terbaru, Pas mula dikatakan bersuara tentang jumlah kerusi yang mereka menangi dalam PRU13 yang lalu. Pas merupakan ‘komponen pakatan’ yang memenangi jumlah kerusi yang paling banyak. Nafsu serakah pada jawatan mula bertapak dalam hati pemimpin Pas Selangor juga rupanya, hingga timbul khabar angin bahawa Khalid Ibrahim akan menyertai Pas demi untuk kekalkan kerusi panas No1 Selangor itu. “Last Card – Straight Flush” ada pada Tan Sri Khalid Ibrahim kiranya desakan kumpulan Azmin Ali tidak dapat dibendung lagi.

Penulis melihat, Khalid Ibrahim bukan jenis yang mudah menyerah kalah, di saat tekanan datang dari pelbagai arah, beliau sempat lagi mengumumkan pemberian kononnya Bonus Raya, sebulan gaji kepada kakitangan awam Selangor dan rakyat Selangor menyambut baik kerana ianya diumumkan sempena Hari Raya. Apalagi yang rakyat mahu?

Kita tunggu, adakah Tan Sri Khalid Ibrahim selaku pemegang jawatan itu mampu untuk mempertahankan jawatan tersebut? Adakah seteru politiknya, Azmin Ali akan mengambil alih jawatan itu? Atau adakah Presiden PKR sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan duduk di kerusi panas itu? Atau adakah seorang wakil dari PAS akan dilantik untuk menduduki jawatan itu?

Yang berkokok bukan Rakyat Selangor
Yang berkehendak pun bukan Rakyat Selangor
Yang bernafsu juga bukan Rakyat Selangor
Yang jelas, yang bakal terima nasib malang adalah Rakyat Selangor kerana diperbodohkan sepenggal yang lalu dan di perbodohkan lagi di penggal ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.