Buku Wirid, Zikir Yang Diragui Jadi Rujukan Jemaah

KOTA BHARU – Jemaah salah satu dalam kumpulan yang terlibat dalam insiden solat dua imam di Masjid Pondok Banggol Stol didakwa menggunakan sebuah buku mengandungi wirid dan zikir yang diragui sebagai rujukan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (GAMBAR)berkata, penyiasatan awal pihaknya mendapati kumpulan tersebut melakukan ibadah dan sebagainya berpandukan buku berkenaan.

Kita dapati kumpulan tersebut mengikut amalan buku yang bertajuk “Meniti Jalan Hidayah Menuju Tarekat Khatmul Auliak” karya Mohd Bakri yang mana kandungannya mengandungi fahaman yang meragukan.

“Kita tidak memfatwakan Tarekat Tijani atau sebagainya, kita hanya fatwakan wirid-wirid yang ada dalam buku tersebut kepada sebarang penggunaan tanpa kawalan kerana bukan semuanya tidak boleh digunakan, tetapi ada di antara kandungannya diragui,” katanya semalam.

Menurutnya, wakil-wakil kumpulan itu juga telah disiasat namun mereka mengaku tidak mengamalkan dakwah mengikut Tarekat Tijani sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Beliau juga berkata, umat Islam sepatutnya harus lebih berhati-hati dalam memilih pegangan dan ikutan untuk menjadi Islam yang sebenar, bukan hanya berpandukan buku atau kitab yang tidak sahih dan sebagainya.

“Saya amat kesal dengan insiden tersebut, ia berlaku di bulan Ramadan, bulan yang menyatukan ummah, ini salah satu caranya menjatuhkan imej orang Islam sendiri. Saya harap selepas ini semua pihak akan lebih profesional bukannya dengan emosional dalam menyelesaikan sebarang masalah.

“Saya berharap agar umat Islam tidak mengamalkan atau melibatkan diri dengan pegangan-pegangan  diragui, sebaliknya carilah ustaz atau imam-imam yang betul-betul sahih ajarannya, cabaran umat Islam semakin banyak, langkah-langkah penjagaan seperti inilah yang perlu dilakukan semua pihak,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/buku-wirid-zikir-yang-diragui-jadi-rujukan-jemaah-1.297317

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.