CYBERJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa permintaan data panggilan telefon bimbit oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah bagi tujuan statistik dan tidak melibatkan sebarang maklumat peribadi individu.
Menurut beliau, data yang dikumpul adalah untuk menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy making), termasuk penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.
“Data itu tidak mengandungi identiti dan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Korban Perdana Perpaduan UMNO Bahagian Lembah Pantai, hari ini.
Tambahnya, maklumat tersebut akan disalurkan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan digunakan untuk mengenal pasti trend penggunaan serta keperluan rakyat di peringkat lebih mikro, seperti di peringkat mukim dan daerah.
“Sekarang ini banyak daripada maklumat tentang sektor telekomunikasi masih terlalu umum… Dengan data ini, kita boleh rancang dengan lebih tepat dan rapatkan jurang digital,” jelas Fahmi.
Mengulas laporan media antarabangsa, termasuk South China Morning Post yang mendakwa MCMC mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan semua data panggilan dari Januari hingga Mac, Fahmi menjelaskan bahawa permintaan data tersebut telah melalui perbincangan bersama antara MCMC, syarikat telekomunikasi, dan DOSM sejak 2023.
“Syarikat telco tidak akan beri data peribadi. Hanya data yang telah dinyahidentiti (anonymised data) akan diproses, dan itu pun dilakukan oleh pihak telco sendiri,” tegasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pendekatan ini tidak akan menjejaskan privasi pengguna dan langkah keselamatan data tetap menjadi keutamaan semua pihak terlibat.