Pengetua Sekolah Sempatkan Imamkan Solat Sebelum Terlibat Kemalangan

SUNGKAI – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Mohammad Abdul Aziz Mohd Salleh, 56, maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan lori di Jalan Persekutuan Slim River- Sungkai arah selatan berdekatan Pusat Latihan Statistik dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Besout.

Kereta jenis Honda dipandunya dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan lori membawa muatan batu kerikil menyebabkan mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang juga pengetua pertama SMK Proton City yang baru dibuka pada sesi persekolahan pada 5 Februari lalu, sempat mengimamkan solat Zohor bersama pelajar sekolah itu.

Selepas menunaikan solat, mangsa meluangkan masa memberi tazkirah dan sempat memberi pesanan kepada pelajar supaya sentiasa membaca al-Quran kerana itu sebagai bekalan apabila mereka meninggal dunia.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bidor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 3.17 petang dan anggota yang tiba di lokasi menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya.

Katanya, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.