Kes Pecah Botol Arak, Mahkamah Majistret Keluarkan Waran Tangkap Ke Atas Jamal

SHAH ALAM — Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana gagal hadir sebutan kesnya yang didakwa memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, tahun lepas.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli yang mewakili pihak pendakwaan.

“Tertuduh dah tahu tarikh sebutan hari ini dan hari itu pun tidak sempat nak sempurnakan proses jaminan. Peguam bela sampai sekarang masih belum dapat kesan tertuduh, jadi saya akan keluarkan waran tangkap,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada 25 Mei lepas, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan SUK pada 5 Okt tahun lepas.

Prosiding kes tersebut dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur berikutan Jamal sedang dirawat di wad Premier hospital berkenaan bagi masalah sakit belakang, dan dia kemudian dilaporkan menghilangkan diri ketika Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam sedang menguruskan proses ikat jaminnya kira-kira 5.30 petang. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.