Comango Gesa Kerajaan Pinda Undang-Undang, Selari Dengan Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) hari ini meminta kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan ia selari dengan tuntutan hak asasi manusia.

Comango melahirkan harapan tersebut kepada kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) ketika melancarkan Laporan Pihak Berkepentingan Penilaian Berkala Sejagat (UPR).

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang juga sekretariat bersama Comango, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya yakin kesemua 232 cadangan yang dikelaskan dalam 10 tema dalam laporan berkenaan akan diberikan perhatian oleh kerajaan berdasarkan manisfeto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apa yang penting adalah Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya mereka sudah menjanjikan satu keadaan yang lebih inklusif berasaskan hak asasi seseorang.

“Berasaskan perkara itu mereka tidak boleh mendiskriminasi berasaskan pegangan agama, jantina dan sebagainya. Mereka harus menangani semua perkara secara sama rata. Itu yang diharapkan daripada kerajaan sekarang,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, di sini.

Di dalam laporan tersebut Comango turut mencadangkan agar hubungan kelamin antara pasangan yang telah berkahwin tanpa kerelaan isteri dianggap sebagai jenayah rogol.

Laporan berkenaan turut mencadangkan agar kerajaan menghentikan segala aktiviti dan ucapan yang mempunyai unsur diskriminasi, ancaman dan anti-LGBT.

Berikut merupakan antara perkara yang dibangkitkan serta cadangan dalam laporan berkenaan:

– Memansuhkan semua undang-undang yang bertentangan dengan artikel 3(4) Perlembagaan Persekutuan dan yang membenarkan permohonan undang-undang sewenang-wenang serta peruntukan yang bertindih berkaitan jenayah.

– Meminda Seksyen 375 Kanun Keseksaan dan semua undang-undang berkaitan seperti Akta Keganasan Rumah Tangga bagi memastikan tindakan menghendap, merogol serta apa jua bentuk hubungan seks lain yang dilakukan secara paksa antara pasangan yang sudah berkahwin dan rakan yang belum berkahwin sebagai jenayah.

– Menghapuskan segala ucapan, aktiviti anti-LGBT yang mendiskriminasi dan berbahaya.

Laporan itu dibuat berdasarkan pemerhatian NGO berkenaan terhadap tindakan kerajaan selepas mereka mengadakan beberapa siri sesi rundingan antara tahun 2014 hingga 2017.

Dalam laporan itu juga, Comango turut menyenaraikan situasi-situasi yang berlaku sebelum ini bawah pentadbiran BN.

Selain menyenaraikan situasi atau kes yang berlaku, laporan itu turut memberi cadangan penyelesaian terhadap perkara yang dibangkitkan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.