Video: Watson Henti Iklan Raya Kontroversi Wanita Berkulit Hitam

Selepas mendapat bantahan dan kecaman daripada orang ramai, rangkaian farmasi Watson akhirnya menarik balik iklan sempena kempen Hari Raya Aidilfitri dalam masa kurang 12 jam.

Iklan berjudul Lagenda Cun Raya yang berdurasi 15 minit itu dibintangi barisan artis popular termasuk Kamal Adli, Ruhainies, Uqasha Senrose, Raja Ilya, Sasha Saidin, Thanuja, Bell Ngasri dan Amber Chia.

Ia dikecam ramai kerana didakwa mempunyai unsur perkauman dan diskriminasi terhadap warna kulit iaitu bagi watak Ruhainies yang berkulit gelap pekat.

Video yang disiarkan awal pagi semalam menerima lebih 300,000 tontonan sebelum ia dipadam dari laman Facebook rasmi jenama itu.

Rata-rata netizen berang dan mempersoalkan tujuan Watson mengangkat isu perkauman serta merendahkan individu berkulit gelap. Malah, ia juga mengambarkan wanita sebagai objek yang perlu diadili oleh kaum lelaki.

Bagaimanapun, Watson dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada petang Rabu memohon maaf kepada netizen yang terkesan dengan video berkenaan.

Tambahnya, cerita yang cuba disampaikan menerusi iklan tersebut tidak mempunyai sebarang niat buruk, sebaliknya diinspirasi daripada cerita lagenda Dayang Senandung yang turut pernah difilemkan.

Video tersebut secara ringkasnya menceritakan tentang seorang Raja lakonan Kamal Adli sebagai watak utama, mencari gadis bersuara merdu dalam mimpinya.

Dalam acara itu beberapa gadis hadir mencuba nasib dan akhir ya Raja itu terpikat dengan suara seorang gadis berkulit gelap dan digambarkan sebagai hodoh.

Namun, Raja itu tetap juga mengahwini gadis itu atas dasar mengotakan janji.

Pada akhir video berkenaan, gadis itu sebenarnya sengaja menghitamkan wajahnya sebagai menguji keikhlasan Raja itu.

Gadis itu kemudian tampil putih semula selepas menggunakan produk Watson.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.