Rela Perut Berangin Dari Bangun Sahur Kata Anis Al Idrus

Biarpun mengetahui banyak manfaat sahur serta keberkatannya, bagaimanapun, pelakon dan model Anis Al- Idrus, kerap tidak bersahur demi memastikan dapat tidur yang cukup.

Menurut Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal berkata, dia akan diserang migrain teruk jika tidak mendapat tidur yang cukup.

Disebabkan itu dia langsung tidak dapat bekerja bahkan melakukan sebarang aktiviti.

Katanya, dia terpaksa bersahur lebih awal kerana tidak mahu waktu tidurnya terganggu.

“Saya memang tidak bangun bersahur lebih-lebih lagi jika saya terlibat dengan pengambaran kerana saya memang tidak boleh jika tidak mendapat tidur yang cukup. Pasti saya akan kena migrain.

“Jadi selalunya saya akan bersahur lebih awal misalnya jam 12 malam supaya saya tidak perlu bangun untuk bersahur. Apabila bersahur awal, saya mudah pula berasa lapar dan membuatkan perut saya rasa berangin di sepanjang hari berpuasa.

“Tapi saya lagi rela perut saya berangin daripada kena serangan migrain yang sangat menyakitkan,” katanya, lapor MD.

Bagaimanapun menurut Anis, kebiasaaanya dia memilih memakan makanan yang sihat dan dapat memberi tenaga di sepanjang hari seperti oat atau cornflake ketika bersahur.

Manakala jika berbuka pula, sekiranya tidak terlalu sibuk dengan kerja dia gemar menikmati juadah buffet di restoran atau hotel kerana menghidangkan pelbagai jenis hidangan.

“Kalau berbuka, memang saya makan sungguh-sunguh. Kalau saya cuti, saya suka berbuka dengan konsep buffet sebab ada banyak makanan yang kita boleh pilih,” katanya.

Mengenai persiapan menyambut lebaran, Anis berkata, tahun ini dia meraikan Aidilfitri secara sederhana. Dalam masa sama dia perlu menyempurnakan persiapan majlis pernikahannya yang berbaki 10 peratus lagi.

“Raya kali ini akan disambut secara sederhana kerana memang sibuk untuk uruskan majlis.

“Alhamdulillah, setakat ini persiapan untuk majlis sudah 90 peratus. Tinggal mahu edarkan kad kahwin dan membeli cincin,” beritahunya sambil tersenyum.

Anis, 29, bakal melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim, 35, pada 7 Julai 2017. Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.