Chegubard Mohon Maaf Kepada Istana Selangor

SHAH ALAM – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin hari ini mengemukakan permohonan maaf kepada Istana Selangor berhubung kenyataannya yang mendakwa sebuah surau di negeri ini telah digunakan bagi acara politik.

Bagaimanapun Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard hanya menarik sebahagian daripada tulisannya yang ‘tersalah fakta’, dan mempertahankan tulisan selebihnya dalam artikel bertajuk ‘Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor’ di blognya itu.

“Setelah mendapat respon dan diperiksa dengan penduduk setempat disahkan bahawa gambar tersebut merupakan ruang solat sebuah surau yang tidak digunakan lagi sebagai surau sejak Mac 2017 setelah Masjid Al Falah Jalan Kebun yang terletak berdekatan mula beroperasi.

“Sehubungan dengan itu saya menarik sebahagian dari tulisan tersebut yang salah fakta dan memohon maaf kepada pihak berkenaan.

“Saya memohon maaf juga kepada Istana Selangor berkenaan kesilapan fakta dalam persoalan yang dibangkitkan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan respon berkenaan persoalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya.

Tinjauan Antarapos dalam artikel asal bertajuk ‘Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor’ bertarikh 6 Jun di blognya itu, didapati Chegubard menggariskan ayat yang ‘tersalah fakta’ sebagai tanda ia ditarik balik, dan kemudian memaparkan kenyataan terbaru selepas ‘pembetulan’ dilakukan.

Ayat yang ditarik semula itu adalah:

“Kini jelas gambar program jentera pilihanraya PAS tersebar kelihatan seolah di ruang solat juga dalam masjid / surau / madrasah di negeri Selangor , adakah Istana Selangor akan turut diam kerana PAS sudah mesra Umno ? Ini bukan tuduhan tapi pertanyaan yang harus mendapat respon pihak penganjur dan Istana juga”

Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi tempoh 24 jam kepada Chegubard untuk menarik balik kenyataannya yang berbaur fitnah terhadap Istana Selangor atau berdepan tindakan undang-undang.

Pengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, jika aktivis politik itu gagal berbuat demikian, MAIS akan mengambil tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia atau didakwa mengikut Akta Fitnah 1957.

Kata Adzib juga, MAIS sudah mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap dakwaan itu, dan mendapati surau itu sudah ditutup selepas Masjid Al Falah Jalan Kebun mula beroperasi sejak 30 Mac lalu.

Menerusi artikel yang disiarkan di blognya 6 Jun lalu itu, Chegubard mendakwa PAS kawasan Kota Raja telah menyalahgunakan kemudahan di Surau Al-Falah di Jalan Kebun dengan mengadakan progam pemukiman untuk pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, PAS kawasan itu menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.