Brazil Catat 161 Kes Bunuh Setiap Hari

RIO DE JANEIRO – Kadar pembunuhan di Brazil meningkat kepada 59,080 pada tahun 2015 atau menya­mai jumlah 161 kes sehari, menurut angka yang disiarkan Atlas Keganasan 2017 kelmarin.

“Kes bunuh itu menyamai sebuah pesawat Boeing 737 terhempas setiap hari,” kata Pengarah Forum Keselamatan Awam Brazil, Samiro Bueno yang menyusun laporan tersebut bersama Institut Penyelidikan Ekonomi Gunaan (IPEA).

Kadar pembunuhan tinggi yang konsisten di negara dengan populasi penduduk seramai 200 juta orang itu adalah paling teruk dalam kalangan remaja dan orang kulit hitam, menurut laporan tersebut.

Kes pembunuhan meningkat daripada 29.1 bagi setiap 100,000 orang pada tahun 2014 kepada 29.8 pada 2015, jauh melebihi 10 kes pembunuhan bagi setiap 100,000 orang yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ambang keganasan endemik.

“Terdapat satu kestabilan yang tidak boleh diterima mengenai kadar 60,000 pembunuhan setahun. Mangsa kebanyakannya golongan muda dan berkulit hitam dengan tahap pendidikan yang rendah.

“Mungkin inilah sebabnya kerajaan dan masyarakat Brazil tidak begitu terbuka terhadap keperluan melaksanakan dasar-dasar efektif bagi mengelakkan kerugian,” kata penyelidik IPEA, Daniel Cerqueira.

Lebih daripada 318,000 orang berusia antara 15 hingga 29 tahun dibunuh di Brazil pada tahun 2005 hingga 2015. Jumlah pada tahun 2015 menyaksikan kes pembunuhan sebanyak 31,264 atau 54.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Laporan terbaharu itu menunjukkan bahawa 71 peratus mangsa terdiri daripada individu berkulit hitam.

“Kita bukan sahaja mempunyai legasi sedih terhadap diskriminasi warna kulit, tetapi juga dari sudut pandang keganasan yang membawa maut,” menurut laporan berkenaan yang menjelaskan bahawa 23.5 peratus rakyat Brazil berkulit hitam lebih cenderung dibunuh berbanding komuniti lain. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.