Bincang Isu Calon PM Dari PH Secara Tertutup, Kata Muhyiddin

PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu mengenai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) lebih molek dibincangkan secara tertutup.

Ujar Muhyiddin, dibimbangi ia akan memberi kekeliruan dan salah faham kepada rakyat sekiranya dibincangkan secara terbuka.

“Pada pandangan peribadi saya, lebih baik perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

“Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu.

“Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai wujudnya pertikaian mengenai nama calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang berkenaan.

Isu calon perdana menteri PH hangat diperkatakan selepas Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu pernah menyatakan bersedia untuk mempertimbangkan jawatan berkenaan sekiranya ia dipersetujui oleh semua komponen pakatan itu.

Namun ujar Dr Mahathir, buat masa ini beliau tidak bersetuju untuk jawatan berkenaan sebaliknya bersedia menjadi penasihat kepada perdana menteri jika PH berjaya menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pendirian beliau itu disiarkan menerusi siaran langung Facebook pada minggu lalu.

Semalam, Dr Mahathir sekali lagi menyatakan kesediaannya menjadi perdana menteri, ketika ditemubual oleh media antarabangsa, Nikkei Asian Review.

Bagaimanapun ujarnya, jawatan itu hanya akan dipegangnya dalam jangka masa pendek dan mesti mendapat persetujuan, terutama rakan-rakan di dalam PH. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.