Anwar Gagal Dapat Pengampunan Diraja Punca Sarawak Report Fitnah Isu RM9.5 Juta

Dek kerana Yang di Pertuan Agung enggan meluluskan permohonan diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diatas pertuduhan liwatnya, blog pro-pembangkang Sarawak Report mencipta persepsi bahawa bekas Ketua Pembangkang itu kononnya mangsa 1MDB.

Penganalisis politik dan blogger, Raja Petra Kamaruddin berkata, Sarawak Report mencipta berita palsu bahawa pendakwaraya kes liwat Anwar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada akaun 1MDB sebagai balasan untuk memastikan Anwar dipenjarakan.

“Anwar mahu menggunakan berita palsu ini untuk mengubah sabitan kesalahannya.

“Anwar sedar bahawa Yang di Pertuan Agong tidak akan memberikannya pengampunan (lagipun, Anwar tidak pernah memohon untuk mendapatkan pengampunan jadi bagaimana baginda mahu memberi keampunan jika dia tidak pernah minta),” kata Raja Petra menerusi blognya, Malaysia Today.

Permohonan pengampunan diraja bagi memadamkan kes liwat Anwar terhadap Saiful Bukhari Azlan mula dipetisyenkan oleh keluarga Anwar pada Febuari 2016 diikuti pada bulan sama tahun ini dan kedua-dua permohonan ini ditolak.

Kedua-dua petisyen berkenaan tidak dipohon oleh Anwar sendiri.

Ujar Raja Petra, sekiranya tidak mendapat pengampunan diraja, Anwar hanya dibenarkan kembali bertanding pilihan raya pada tahun 2025 ekoran larangan menyertai politik selepas lima tahun pembebasannya dari penjara.

“Satu-satunya harapan dan terakhir adalah untuk memadamkan kesalahannya. Dan cara yang diharapkan beliau adalah dengan mendakwa Najib membayar Shafee RM9.5 juta,” katanya lagi.

Katanya lagi, bukan keputusan Shafee untuk menyumbat Anwar ke penjara kerana ianya adalah keputusan panel hakim yang lebih mempercayai hujah dikemukakan pihak pendakwaraya berbanding barisan-barisan peguam Anwar.

Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas laporan Sarawak Report berhubung pembayaran RM9.5 juta kepada Shafee ekoran akaun berkenaan sudah ditutup lebih awal.

Sarawak Report menerusi laporannya mendakwa RM9.5 juta daripada SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke akaun peribadi Shafee melalui transaksi dua pembayaran iaitu pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Kata Musa, portal Malaysiakini pada 8 Ogos 2015 pernah melaporkan bahawa akaun AmBank milik Najib telah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan beliau mempersoalkan bagaimana akaun yang sudah ditutup boleh digunakan untuk menyalurkan wang kepada Shafee pada 2014.

“Sedikit pencerahan berkaitan apa yang telah dikeluar­kan oleh media di dalam blog berkaitan dengan laporan Sa­rawak Report, bagi saya ini adalah satu permainan politik yang saya anggap cuba untuk keluarkan kenyataan dan fakta-fakta yang tidak betul.

“Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu bagi tujuan memudaratkan seseorang,” katanya

Bagi penganalisis politik Zakhir Mohamed, laporan oleh Sarawak Report yang kemudiannya disambut oleh pemimpin-pemimpin pembangkang menunjukkan betapa terdesaknya Pakatan Harapan memburukkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Fitnah keatas Shafee sangat sesuai dikala Ketua de Facto pembangkang yang juga banduan Anwar Ibrahim sedang mempertikaikan pendakwaannya di mahkamah pada ketika ini.

Tambahnya lagi, lebih banyak pembohongan akan didedahkan pembangkang dalam usaha merealisasikan impian Anwar untuk menduduki kerusi pentadbir Putrajaya demi mencantas hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali menjadi Perdana Menteri. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.