SPR Halau Kenderaan Kempen MCA Kerana Tiada Permit

PETALING JAYA – Kenderaan kempen yang digunakan MCA untuk membantu calon BN di PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi terpaksa “tutup kedai” lebih awal gara-gara tidak mempunyai permit.

 

Difahamkan, kenderaan itu baru beroperasi buat julung kalinya pada jam 8.30 malam Selasa di pusat bandar Sekinchan supaya pemimpin MCA dan BN boleh berdiri di bahagian belakangnya untuk memberi ceramah bagi meraih undi.

 

Bagaimanapun, tidak sampai sejam pemimpin muda memberi ceramah di Sekinchan, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) muncul untuk memeriksa permit.

 

Disebabkan tiada permit, SPR bertindak menghalau kenderaan itu meninggalkan tempat kejadian.

 

Jurucakap MCA memberitahu Sin Chew Daily, parti itu akan segera memohon permit supaya sesi ceramah akan datang berjalan dengan lancar.

 

Orang yang bertanggungjawab terhadap kenderaan kempen MCA itu mendakwa pegawai SPR memaklumkan mereka bertindak atas aduan parti pembangkang yang mengatakan parti itu sedang mengadakan ceramah di Sekinchan.

 

Selain MCA, ceramah AMANAH yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 malam semalam turut disekat SPR.

 

Bagaimanapun, selepas rundingan diadakan, SPR membenarkan ceramah itu diteruskan sehingga jam 11 malam walaupun tidak memiliki permit.

 

Ceramah yang bermula jam 10.30 malam itu dihadiri kira-kira 30 rakyat tempatan.

 

PRK Parlimen Sungai Besar yang ditetapkan pada 18 Jun ini, menyaksikan Budiman ditentang calon PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala AMANAH mempertaruhkan Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

 

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18% pengundi Melayu, 30.68% pengundi Cina, 1.91% pengundi India dan 0.23% pengundi daripada kaum lain. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.