UMNO Sedia Berbincang Dengan PAS – PM

JEDDAH – UMNO bersedia berbincang sebarang perkara berkaitan kepentingan umat Islam dengan Pas terutama selepas pembentukan kepemimpinan baharu parti itu yang dipilih menerusi Muktamar Pas ke-61 baru-baru ini.

 

Dalam masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau turut melahirkan harapan dan keyakinan untuk melihat barisan kepimpinan baharu Pas itu lebih positif kepada usaha ke arah berkenaan.

 

Tambah Perdana Menteri, UMNO juga menghormati keputusan perwakilan Pas dalam pemilihan itu yang memilih barisan proulama untuk menerajui kepimpinan baharu parti tersebut.

 

“UMNO bersedia berbincang apa-apa sahaja yang kita lihat boleh bekerjasama dengan Pas untuk kepentingan ummah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

 

Pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas bagi sesi 2015-2017 baru-baru ini menyaksikan kemenangan besar kumpulan proulama di semua peringkat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Abdul Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Sementara itu, ditanya sama ada kesediaan UMNO itu termasuk ke arah pembentukan kerajaan perpaduan, Najib berkata, kerjasama tersebut tidak semestinya perlu dinyatakan secara spesifik.

 

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan perlunya barisan kepimpinan baharu Pas diberi masa bagi menilai hasrat UMNO untuk bekerjasama ke arah kepentingan umat Islam berkenaan.

 

Kepada persoalan berhubung pandangan beliau daripada keputusan perwakilan memilih pemimpin proulama, Najib berkata, perwakilan Pas sudah semestinya membuat pertimbangan dari pelbagai sudut dan keputusan itu sewajarnya dihormati.

 

“Saya juga melihat keputusan pemilihan kali ini lebih berfokus, jadi sudah semestinya mudah untuk Pas membincangkan sebarang kemungkinan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.