Terserah Pada Arab Saudi Untuk Tentukan Kuota Jemaah Haji – Najib

JEDDAH – Malaysia menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Arab Saudi berhubung penambahan kuota jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji tahun ini.

 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau sudah menyatakan hasrat Malaysia mengenai status kuota haji itu kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dalam pertemuannya bersama baginda di sini untuk dipertimbangkan.

 

“Buat masa ini, kita tidak boleh mengumumkan apa-apa berhu­bung status kuota haji itu dan menyerahkan kepada kerajaan Arab Saudi sepenuhnya memandangkan perkara ini juga melibatkan kepen­tingan negara lain,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

 

Malaysia ketika ini masih me­nunggu keputusan rayuan berhubung penambahan kuota jemaah untuk musim haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi yang hanya akan diketahui apabila musim haji hampir tiba.

 

Kuota haji yang diberikan kepada Malaysia ketika ini ialah seramai 22,320 jemaah bermula pada 2013 berbanding 28,900 jemaah pada tahun sebelumnya.

 

Pengurangan kuota haji itu berikutan kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Mekah yang sedang giat berjalan ketika ini.

 

Sementara itu, Najib berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang menyediakan kemudahan terbaik kepada jemaah haji dari Malaysia selama ini.

 

Dalam perkembangan ber­kaitan, Najib memberitahu, beliau juga sudah menyatakan hasrat kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Naif Al Saud berhubung hasrat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk membangunkan pusat operasi di Mekah dan Madinah.

 

Menurut beliau, kedua-dua pusat itu diharapkan dapat dibangunkan dalam lingkungan satu kilometer dari kota tersebut bagi kemudahan jemaah haji Malaysia. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.