Pelukis China Hasil Plat Wang Palsu Tanpa Guna Teknologi Moden

BEIJING – Hampir 96.7 peratus masalah wang palsu yang dihadapi oleh China ketika ini, terhasil daripada plat wang contoh yang dicipta oleh seorang pelukis berbakat besar tanpa menggunakan sebarang teknologi moden.

 

Laman web Oddity Central melaporkan, pelukis berkenaan, Peng Daxiang berasal dari Shantou, wilayah Guangdong menghasilkan plat berkenaan tanpa menggunakan komputer atau mana-mana teknologi moden lain.

 

Media tempatan melaporkan, plat yang dicipta oleh lelaki berusia 73 tahun itu dihasilkan dengan hanya menggunakan peralatan asas seperti kanta pembesar dan kamera menggunakan filem.

 

Daxiang dilaporkan menjual plat itu kepada kumpulan-kumpulan kongsi gelap pada harga antara AS$8,000 (RM30,038) hingga AS$20,000 (RM75,096) setiap satu.

 

Selain berkemahiran tinggi meniru lukisan wang, Peng juga mampu meniru sijil ijazah, sijil kelulusan pihak berkuasa termasuk cap pengesahan makanan.

 

Bagaimanapun, aktiviti jenayah Daxiang mula dihidu pihak berkuasa pada tahun 2013 dan pada tahun lalu, Mahkamah Rakyat Shantou menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya atas kesalahan memalsukan wang serta dokumen kerajaan.

 

Seorang polis penyiasat berkata, walaupun hanya menggunakan peralatan mudah, plat wang yang dihasilkan oleh Daxiang sama seperti wang tulen dan boleh mengelirukan mereka yang tidak mempunyai kemahiran mengenainya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.