DAP Tak Perlu Orang Tengah – Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP tidak perlu mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik parti itu dengan PAS, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

 

Beliau berkata, DAP yang ditubuhkan sejak 1966 mempunyai paling banyak anggota Parlimen dalam pakatan pembangkang dan mampu menghadapi sebarang permasalahan dengan mengadakan perbincangan secara langsung dengan sekutunya itu.

 

“Perkara atau masalah dengan PAS tak perlu mana-mana orang tengah (untuk diselesaikan). Sebarang permasalahan harus dibincang secara langsung (dalam kalangan anggota) dan bukan menerusi orang tengah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan PKR semalam yang bersedia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara parti itu dengan PAS.

 

Hal ini berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Rabu lalu yang meluluskan usul tanpa dibahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP kerana tidak selari dalam isu hudud.

 

Dalam pada itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata PAS perlu mengarahkan pemimpinnya untuk meletakkan jawatan dalam pentadbiran di negeri itu jika mahu memutuskan hubungan dengan DAP.

 

“Kerajaan negeri adalah di bawah pimpinan DAP, jadi apakah logiknya sekiranya pemimpin-pemimpin PAS masih lagi berkhidmat di bawah pimpinan DAP?

 

“Saya tidak berhak untuk mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan kerana yang mahu putuskan hubungan dengan kami adalah PAS, jadi PAS yang harus bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.