Bongkah Kubah Masjid Jatuh Depan Mata

RANAU – “Saya dengar dentuman kuat di atas bumbung sebelum bongkah konkrit jatuh hanya kira-kira dua meter dari tempat saya menyapu lantai masjid,” kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Ar-Rahman, Ranau, Johari Abdullah, 45.

 

Menceritakan detik mencemaskan ketika gempa bumi kelmarin, Johari berkata ketika itu dia dan siak masjid sedang membersihkan ruangan solat bagi persediaan solat Jumaat.

 

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mereka tiba-tiba merasai gegaran luar biasa sebelum terdengar dentuman kuat di atas bumbung dan bongkah konkrit dari bahagian menara jatuh betul-betul di hadapannya.

 

“Saya dan siak lari menyelamatkan diri. Apabila menoleh semula ke masjid, saya nampak satu kubah di bahagian menara masjid tumbang dan hampir jatuh manakala beberapa dinding di bahagian kubah jatuh menghempap bumbung sehingga menembusi ruang solat,” katanya ditemui ketika selepas tinjauan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.

 

Sementara itu, Imam Apar Siha, 67, berkata akibat kejadian itu, masjid berusia 41 tahun itu yang boleh memuatkan 2,000 jemaah tidak boleh digunakan. Katanya, tiga surau iaitu di Kampung Lingkudau, Paka-Paka dan Meliba digunakan sementara sebagai masjid.

 

“Kami berharap ada peruntukan disediakan untuk membina masjid baharu kerana masjid ini disahkan tidak selamat digunakan,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.